Kerjasama UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) masih belum tamat, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau bagaimanapun mengakui hubungan itu telah sampai ke “ayat akhir” tetapi belum “dikhatamkan”.

“Tetapi kita perlu jelaskan kita cuma akan bersama dengan yang setia, bukan orang yang main banyak kolam yang akhirnya nanti ramai yang keliru dan kita sendiri pun keliru,” katanya pada sidang media selepas perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hala tuju MN yang piagamnya yang dimeterai UMNO dan PAS pada 14 Sept 2019.

Ditanya sama ada PAS dijemput menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2021 kali ini, Mohamad berkata: “Sebab kekangan  tempat…tempat tidak mengizinkan, prosedur operasi standard (SOP)…cakap bersopan”.

Mengenai Pilihan Raya Umum (PRU), beliau berkata kehendak ia diadakan segera adalah kemahuan parti.

“Saya sebagai pengarah pilihan raya parti, saya merancang strategi supaya parti menang dalam pilihan raya. Sekarang tiba masanya untuk kami bertindak, jadi biarlah kami bincang di peringkat pimpinan tertinggi parti, apa baik apa tidak baik, apa untung, apa ruginya kepada parti,” katanya.

— BERNAMA