Tiada pembubaran DUN dalam masa terdekat bagi negeri Selangor kerana pelbagai perancangan kerajaan negeri masih dalam proses pelaksanaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat hasil daripada perbincangan bersama Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) dan menteri besar lain yang sepakat membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir

“Kita (sudah) sepakat adalah lebih baik dan lebih berkesan jika pentadbiran (negeri) ini diselesaikan sehingga habis penggal maknanya sehingga bulan empat atau lima tahun hadapan.

“Maknanya (itu) kalau dari pandangan saya sebab ia (bubar DUN Selangor) bukan daripada pengumuman saya (semata-mata) kerana (perlu) perkenan di bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.


“Usaha untuk membubarkan DUN (Selangor) adalah atas cadangan menteri besar dan itu (bermaksud) saya tidak boleh cakap ini (sebagai) keputusan saya bulat-bulat,” katanya semalam.

Beliau juga mahu proses pelaksanaan perancangan kerajaan negeri dijalankan sebaik mungkin untuk kemajuan rakyat Selangor.

“Kita yakin dalam tempoh dua tahun kita bertarung dengan Covid-19, pertarungan itu menyebabkan beberapa usaha sebagai contoh Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) menjadi tergendala.

“SJAM hanya akan dapat berjalan sempurna menjelang akhir tahun ini atau tahun depan dan juga pelbagai program lain yang baru hendak dilancarkan dan tidak wajar untuk kita buat (PRU15) sekarang,” katanya.

Menurutnya, permintaan untuk mengadakan PRU15 hanya datang daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Mungkin ada yang tidak sabar untuk pilihan raya dan mendapat kuasa (namun) sabar itu separuh daripada iman, (saya) tujukan khas untuk Presiden UMNO, (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi),”

Tamat