Lebih kurang 700 buah musnah dijilat api dalam satu insiden kebakaran yang berlaku di perkampungan atas air Kurnia Jaya, Jalan Apas petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.45 petang.

“Operasi pemadaman segera dijalankan sebaik tiba di lokasi kejadian. Struktur hampir semua rumah yang musnah dibina daripada kayu mengakibatkan api kebakaran merebak dengan cepat.

“Keadaan api yang sudah besar juga menyebabkan anggota bomba bertugas pada awalnya sukar mengawal kebakaran.

“Kita juga menghadapi masalah dari segi sumber air yang ada di sini namun api berjaya dikawal dengan menggunakan pam yang sedia ada untuk mendapatkan sumber air laut dan daripada tanker bomba,” katanya.

Menurutnya, tindakan pantas anggota bomba yang bertugas membuat api dapat dikawal pada pukul 9.37 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala operasi tamat pada pukul 10.40 malam dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Tamat