Tidak terlintas untuk mengendong dua cucu sekali gus meredah api, namun itulah yang dilakukan bagi menyelamatkan dua cucunya apabila kediaman mereka terbakar dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya di sini, petang semalam.

Allah Puyung 63, berkata, dia sendiri seakan terkejut mampu mengendong dua cucu sekali gus, apabila melihat api sedang mark berkenaan.

“Saya tidak fikir apa, saya gendong cucu saya berumur enam bulan serta satu tahun yang berada dalam buaian dan terus menyelamatkan diri,” katanya dalam nada sebak kerana mengenangkan rumah yang didiami lebih 15 tahun itu musnah sekelip mata dan tiada harta dapat diselamatkan.

Selain itu, Normah Kapala, 56, yang tidak dapat berjalan kerana menghidap penyakit buah pinggang tahap lima, didukung anak lelakinya untuk menyelamatkan diri.

“Menantu saya pula meluru mendukung keluar anak perempuan saya bersama tong oksigen kerana dia menghidap asma teruk dan tidak dapat berjalan,” katanya yang menambah hanya tong oksigen itu sempat diselamatkan memandangkan rumah mereka agak jauh dari daratan.

Normah, bagaimanapun, bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat, termasuklah seorang lagi anak perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam, yang telah berlari keluar lebih awal.

Sementara itu, Abdullah Ahmad Naning, 54, bersama isterinya pula berdepan detik cemas ketika hendak menyelamatkan diri sehingga mereka memasuki rumah jiran dan akhirnya terjun ke laut kerana semua laluan jambatan telah musnah terbakar.

“Mujur ada penduduk kampung dari Batu 3 bawa bot menyelamatkan kami dan mangsa lain yang turut terjun laut, ada beberapa bot lain yang datang bantu menyelamat,” katanya yang kini tinggal sehelai sepinggang, malah motosikalnya juga hangus dalam kebakaran itu.

Menurut seorang penduduk Albani Dauralis, 52, api merebak sangat cepat kerana ketika kejadian angin bertiup kuat dan turut kedengaran beberapa letupan tong gas.

Sementara itu, Dewan Kampung Hidayat di Batu 4 di sini, dijadikan pusat pendaftaran mangsa musibah tersebut dan setakat 10.30 pagi tadi, Jabatan Kebajikan telah merekodkan 44 individu dari 11 rumah untuk diberikan bantuan.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, dianggarkan lebih 1,000 mangsa terjejas akibat insiden itu dan bantuan sedang disediakan termasuklah tempat tinggal sementara.

— BERNAMA