Penguatkuasaan Akta Orang Kurang Upaya 2008 yang rapuh dan lemah menyebabkan ramai terus menerus mempersenda dan mendiskriminasi komuniti OKU,” itu kata Ahli Dewan Negara yang mewakili golongan OKU, Datuk Ras Adiba Radzi.

Menurut beliau, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu menyegerakan pindaan akta itu dengan menitikberatkan aspek perlindungan dan keselamatan golongan terbabit melalui penguatkuasaan undang-undang.

Ia susulan satu video tular Kak Long 7E yang dilihat sengaja mempersendakan golongan berkenaan dalam usaha meraih populariti melalui aplikasi Facebook live sebelum ini.

Ras Adiba berkata, sebagai pengajaran wanita berkenaan perlu membuat permohonan maaf secara terbuka serta melakukan aktiviti amal sebagai pengajaran kepadanya dan orang lain.

“Perkara sebegini bukan kali pertama berlaku, malah sejak kebelakangan ini telah pun ada beberapa isu mempersenda OKU kerap berlaku.

“Saya memohon kerajaan untuk meminda Akta 588 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan dengan memasukkan hukuman lebih berat supaya tindakan mengaibkan orang khususnya OKU tidak dilakukan.

“Saya harap semua pihak dapat menjaga sensitiviti dan hormat kepada OKU kerana kita semua seharusnya ingat bahawa satu hari (nanti) semua akan menjadi OKU,” katanya.

Oleh itu beliau menyeru semua persatuan dan pertubuhan OKU untuk membuat laporan polis terhadap individu berkenaan supaya tindakan dapat diambil mengikut lunas undang-undang.

“Kita perlu pastikan bahawa (golongan OKU) bukan sesuatu yang boleh dipermainkan dan kami tidak boleh diperkotak-katikkan kerana kami OKU. Kami mempunyai perasaan, kami mempunyai kehendak dan maruah jadi ini mesti dihentikan,” katanya.

Tamat