Sumber tenaga yang kuat amat diperlukan dalam kehidupan untuk penghasilan berbagai sub-sub tenaga. Contohnya tenaga haba, solar, angin, biojisim, kimia, arang batu dan sebagainya.

Oleh itu, dalam mendapat tenaga boleh diperbaharui secara pukal, sebuah syarikat mengambil risiko dalam usaha membuat kajian dimana haba dari dalam lapisan bumi boleh dimanfaatkan secara meluas.

Syarikat Quaise berhasrat memulakan usaha yang belum pernah dilakukan mana-mana pihak sebelum ini, iaitu menggerudi lubang paling dalam hingga kerak bumi.

Projek penggerudian ini dirancang untuk mendapatkan sumber tenaga tanpa batas dari bebatuan geoterma yang tertimbus jauh di dalam kerak bumi.

Mengikut rekod terdahulu antara lubang paling dalam yang pernah digerudi adalah kira-kira 12.3 kilometer, namun ia masih tidak mampu mencapai tahap di mana haba berkenaan mampu dijanakuasakan.

Namun begitu, syarikat Quaise percaya bahawa lapisan bumi boleh digali lebih dalam dengan menggabungkan kaedah penggerudian terkini dengan kebolehan alat penjana kuasa megawatt yang dikenali sebagai gyrotron.

Gyrotron merupakan sebuah alat yang diinspirasikan dari pelakuran nuklear dan mampu menjana gelombang elektromagnet dalam spektrum gelombang milimeter.

Dalam bahasa mudah, gyrotron secara teorinya mampu membakar bebatuan yang sering menghalang proses penggerudian sebelumnya kerana sangat sukar dipecahkan.

Quaise menjangka, gyrotron mampu menggerudi sedalam 20 kilometer dalam masa beberapa bulan sahaja untuk sampai ke posisi bebatuan geoterma yang mencatatkan suhu setinggi 500 darjah Celcius.

Dengan jumlah haba setinggi ini, tenaga yang dihasilkan mampu mengubah cecair yang dipam ke dalam bentuk seakan-akan wap superkritikal.

Wap superkritikal mempunyai kelikatan gas yang rendah dan ketumpatan cecair yang tinggi Bentuk wap seperti ini dikatakan sesuai untuk menjana tenaga elektrik apabila disalurkan ke bahagian turbin dan penjana.

Dijangka bermula dua tahun lagi
Sementara itu, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menganggarkan penggunaan kuasa geoterma akan berkembang pada kadar 13 peratus setahun untuk mencapai peratusan sifar menjelang tahun 2050.


Quaise dikatakan telah berjaya mengumpul dana sebanyak US$63 juta (RM 264 juta) untuk memulakan projek tersebut dan dijangka memulakan projek menggali lubang paling dalam hingga kerak bumi dalam tempoh dua tahun lagi.

Syarikat tenaga berkenaan memperkirakan sistem geoterma tanpa batas tersebut befungsi sepenuhnya pada tahun 2026. Quaise juga berharap sistem baharu ini bakal mengambil alih dan mengubah stesen jana kuasa bahan api arang batu kepada unit berkuasa wap dalam tempoh enam tahun lagi.

Tamat