Bayangkan betapa deritanya seorang kanak-kanak berusia 11 tahun terpaksa berdepan dengan penyiksaan disepak, dicekik, kemudiannya dihempas dilantai dengan kuat sebelum maut.

Itulah realiti yang berlaku kepada seorang kanak-kanak yang diperlukan dengan sebegitu ganas tanpa belas ihsan apabila dibelasah pelajar senior sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin, di sini, kelmarin.

Kejadian kejam itu berlaku di dalam bangunan surau asrama antara jam 3.45 hingga 4.15 petang itu kelmarin menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, kejadian disedari penyelia asrama yang juga pengadu berusia 35 tahun selepas mangsa yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa tiga penghuni lain, termasuk suspek.

“Pada waktu itu mangsa masih bernyawa dan pada awalnya disyaki diserang sawan, lalu pengadu bersama seorang lagi penyelia asrama segera membawanya ke HTAA untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Sejurus tiba di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, pengadu kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku ketika mangsa bersama tujuh rakan, termasuk suspek yang dilantik sebagai ketua ditugaskan untuk melakukan gotong-royong membersihkan surau.

“Ketika di surau itu, suspek dipercayai mencekik dan menghempas mangsa ke lantai sehingga mangsa tidak sedarkan diri.

“Kejadian dipercayai berpunca rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwa mengambil wangnya berjumlah RM4,” katanya.

Beliau berkata, suspek juga dikatakan tidak berpuas hati dengan sikap mangsa yang tidak mengambil serius tegurannya.

“Tindakan suspek terbongkar selepas kejadian itu disaksikan tujuh penghuni asrama lain. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk proses bedah siasat,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, susulan kejadian itu suspek ditahan reman selama tujuh hari hingga 27 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tamat