Satu insiden kebakaran berlaku sehingga memusnahkan Pejabat Pentadbiran Jenayah dan bilik Pegawai Penyiasat Kanan (SIO), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Sumber daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu pejabat berkenaan terbakar 100 peratus.

“Kami menerima panggilan kecemasan pukul 6.15 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera dan anggota. Kebakaran membabitkan sebuah bilik di tingkat satu berkeluasan yang terbakar 100 peratus walaupun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Walaupun setelah siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, kebakaran yang berlaku tidak mempunyai unsur khianat.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata pasukan yang diketuai Penguasa Kanan Bomba II Azlan Rahmat tiba di lokasi kejadian pukul 8.30 malam semalam bagi menyiasat punca kebakaran dibantu Unit Anjing Pengesan (K9).

“Selepas pemeriksaan selama dua jam, bomba mengesahkan tiada unsur khianat atau jenayah dikesan susulan kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati, kebakaran disyaki berpunca daripada pejabat pentadbiran Bahagian Siasatan Jenayah dan seterusnya merebak ke Pejabat Pegawai Penyiasat Kanan (SIO) serta bilik mesyuarat Bahagian Siasatan Jenayah.

Wan Kamarul Azran berkata, pemeriksaan awal mendapati hampir keseluruhan pejabat di Bahagian Siasatan Jenayah mengalami kerosakan akibat kebakaran itu.

“Lain-lain kerosakan yang dikenal pasti, termasuk gangguan talian internet bagi Integrated Police Reporting System (IPRS) kerana kabel fiber optik terbakar,” katanya.

Tamat