Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan pembangkang menolak usul kerajaan di Parlimen hari ini membatalkan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua belah pihak. 

Ini selepas usul itu dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama lima tahun lagi dan mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari.

“Perkara 3.3(b), MoU antara pembangkang dan Perdana Menteri menyebut bahawa pihak Pakatan Harapan (PH) bersetuju akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam apa apa usul yang dikemuka oleh kerajaan, ertinya berjanji tidak akan menolak usul kerajaan.

“Namun hari ini 23 Mac 2022 pihak PH telah melanggar MoU tersebut dengan secara mengejut meminta undi belah bahagi, bagi satu usul yang dibawa oleh Menteri Dalam Negeri, di mana pihak PH telah mengundi menolak usul tersebut.

Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MoU berkenaan,” kata Annuar menerusi akaun Facebook miliknya.

Beliau juga menganggap ia sebagai blessing in disguise kerana Perdana Menteri kini bebas untuk membatal atau menggantung pelaksanaan MoU tersebut.

“Ini akan memudahkan lagi tanggungjawab Perdana Menteri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong melaksanakan mandat Perhimpunan Agung UMNO terutama berkaitan pembubaran Parlimen.

“Ianya juga membolehkan kita segerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selari dengan keputusan perhimpunan tempoh hari.

“Gantung MoU! Jom…Kita buat persiapan dan bersedia untuk PRU-15,” katanya. – UTUSAN