“Kita akan siapkan fail kes untuk dihantar kepada KDN…kita tunggulah. Ada tiga kemungkinan sama ada mereka ini akan dikenakan perintah tahanan, perintah sekatan atau dibebaskan,” itu kata
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung kes lapan penjawat awam terbabit kes dadah.

Menurutnya lapan penjawat awam terbabit kini ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Tetapi bagi polis, kita berpuas hati dengan maklumat yang kita ada berkenaan penglibatan lapan penjawat awam itu dalam sindiket yang ditangkap..kita tunggu keputusan daripada KDN,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, tadi.

Ayob Khan berkata, pihaknya setakat ini tidak membuat lagi sebarang tangkapan baru berhubung kes berkenaan.

“Tiada tangkapan baharu..setakat ini kekal (jumlah ditahan).

“Seperti saya sering tegaskan, kita tidak tolak ansur dengan mana-mana penjawat awam yang terbabit (kegiatan dadah), mereka pasti akan ditangkap,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seorang lagi penjawat awam yang ditahan sudah dituduh bersama seorang nelayan yang ditahan sebelum ini.

Sebelum ini pada 15 Mac lalu, Ayob Khan berkata, sembilan penjawat awam dan seorang nelayan disyaki bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah diberkas di Putrajaya dan Johor Bahru pada 6 Mac lalu.

Beliau berkata, penahanan itu turut membabitkan rampasan dadah jenis syabu seberat 5.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM193,590.

Menurutnya, dadah dirampas itu cuba diseludup sindiket lain yang bergerak aktif di Banting untuk pasaran di Dumai, Indonesia.

Tamat