Tabiat memakai cincin terlalu banyak kadang-kala mengundang padah apabila ianya menjadi terlalu ketat sehingga menyebabkan jari di tangan membengkak akibat tiada aliran darah.

Oleh itu, pihak Bomba Dan Penyelamat Taiping dipanggil dalam usaha menyelamatkan jari daripada terus ‘mati’ sekiranya tidak diselamatkan.

Kepantasan pihak bomba memotong enam cincin berkenaan seharusnya dipuji kerana mampu memotong objek kecil itu tanpa mencederakan lelaki berkenaan.

Kejadian berlaku di Hospital Taiping kelmarin seharusnya dijadikan pengajaran kepada mereka yang suka memakai cincin ketat.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.46 malam

“Kita menerima panggilan daripada petugas di wad kecemasan Hospital Taiping yang memohon bantuan memotong cincin pada jari seorang pesakit.

“Terdapat enam jari pada tangan kanan lelaki itu yang dipakai iaitu empat pada jari manis dan dua jari hantu,” katanya.

Jelasnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping yang dihantar ke lokasi bertindak memotong kesemua cincin tersebut menggunakan peralatan khas dan berjaya ditanggalkan kesemuanya.

Pesakit kemudian diserahkan kepada petugas hospital manakala operasi yang diketuai PBK II Sharif Aziz itu tamat sepenuhnya pada pukul 12.46 tengah malam.

Tamat