Akibat pitam semasa sedang memandu, sebuah kereta yang dipandu wanita warga emas merempuh sebuah kedai makan di Batu 13, Hulu Langat di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian jam 12.50 tengah hari itu berlaku apabila Toyota Vios yang dipandu wanita berusia 63 tahun itu secara tiba-tiba merempuh kawasan parkir.

“Wanita itu dikatakan ingin tekan brek tetapi tertekan pedal minyak akibat pitam menyebabkan ia gagal dikawal lalu melanggar sebuah motosikal yang diletakkan di kawasan parking sebelum merempuh masuk ke dalam kedai makan tersebut,” katanya dalamnya semalam.

Beliau berkata, seorang pelanggan wanita yang ketika itu sedang mengambil makanan cedera dan telah dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.

Katanya, insiden itu mengakibatkan kerosakan harta benda di kedai makan terbabit.

“Kes disiasat Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” ujarnya.

Mohd Zaid menasihatkan pemandu kenderaan agar memastikan tahap kesihatan yang baik sebelum memandu kenderaan di atas jalan raya untuk mengelakkan berlakunya kemalangan.

“Pengusaha premis perniagaan makanan juga dinasihatkan agar memasang besi keselamatan atau sesuatu struktur yang kukuh agar dapat mengelakkan kemalangan yang seumpamanya,” katanya.

Tamat