Akibat gagal mendarat secara baik, sebuah pesawat tergelincir sehingga menyebabkan seorang juruterbang pelatih  mengalami kecederaan di pinggangnya semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).

Mangsa bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan terus dikejarkan keHospital Sultanah Maliha (HSM) untuk pemeriksaan lanjut dengan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah.

Pengarah JBPM negeri, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 8.15 malam tadi.

“Setibanya di lokasi didapati benar kemalangan melibatkan sebuah pesawat latihan jenis Diamond-14 tergelincir daripada landasan ketika pesawat sedang mendarat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya seorang mangsa yang merupakan juruterbang pesawat berkenaan didapati cedera dan dikeluarkan daripada pesawat oleh pasukan bomba LTAL sebelum dikejarkan ke HSM.

Sementara itu, sekurang-kurangnya dua penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) ditangguhkan kerana landasan LTAL ditutup ekoran insiden tersebut

Tamat