“Teruskan berdoa, dan berharap kepada Allah SWT agar Allah memanggil kita sebagai tetamu-Nya pada tahun ini,” – itu kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad tadi.

Menurutnya beliau mengharapkan penambahan kuota jemaah haji Malaysia daripada sebelum ini, namun masih tiada kuota yang khusus ditetapkan oleh Kerajaan Saudi kepada semua negara yang bakal menghantar jemaah haji tahun ini.

“Saya telah dimaklumkan masih tiada kuota yang khusus yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Saudi kepada semua negara yang bakal menghantar jemaah haji pada tahun ini, namun pelaksanaan ibadah haji akan tetap diteruskan dan pastinya ia adalah berita gembira buat umat Islam di seluruh dunia.

Sekali lagi, tiada keputusan rasmi yang dibuat dan ianya bukan hanya melibatkan negara kita semata-mata, tetapi semua negara yang bakal menghantar jemaah haji, dan penantian untuk melaksanakan ibadah ini pada tahun ini, insya-Allah bakal dilaksanakan.

“Pastinya saya mengharapkan penambahan kuota daripada sebelum ini, supaya boleh memberi lebih banyak peluang kepada umat Islam di Malaysia menunaikan Rukun Islam yang sangat besar ganjarannya di sisi Allah SWT,” katanya lagi.

Menurutnya ketika beliau menghadiri lawatan kerja rasmi di Saudi, jelas memperlihatkan pemulihan yang sedang berlaku selepas fasa pandemik yang begitu memberi kesan terhadap pelaksanaan haji dan umrah yang menjadi tunjang ibadah bagi umat Islam di seluruh dunia.

Kerajaan Saudi kini sedang dan berusaha dengan sangat baik bagi mempersiapkan segala keperluan bagi menyambut jemaah haji yang kelak bakal hadir sebagai tetamu Allah dan menunaikan Rukun Islam yang tertangguh dalam dua tahun akibat wabak Covid-19.T

Tamat