Walaupun sudah didendangkan dengan kebaikan mencari pahala ketika Ramadan, namun masih ada yang sengaja membuat dosa dengan meragut wanita warga emas di Seremban.

Tidak berperikemanusiaan apabila turut menggunakan sebilah parang apabila meragut gelang serta cincin wanita berkenaan, sehingga menyebabkan mangsa cedera di pergelangan tangan semasa diragut di hadapan rumahnya di Taman Tuanku Jaafar, di sini Jumaat lalu.

Kejadian tersebut turut tular di laman Facebook dengan gambar kedua-dua suspek menaiki motosikal yang dirakam menerusi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dikongsikan oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian sekitar pukul 11.30 pagi, mangsa yang berusia 68 tahun yang sedang menjemur kain di hadapan pagar rumah telah didatangi dua suspek lelaki yang menaiki motosikal jenis Kawasaki RR warna biru.

“Salah seorang suspek turun daripada motosikal dengan membawa sebilah parang lalu mengacukan parang tersebut ke arah mangsa dan memaksa menanggalkan cincin serta gelang tangan emas yang dipakai pada tangan kirinya.

“Akibat terlalu takut, mangsa terus menanggalkan cincin emasnya dan disebabkan gelang tangan emas sukar ditanggalkan, suspek bertindak merentap gelang tangan itu.

“Suspek terus beredar. Mangsa tidak menjerit meminta bantuan kerana terlalu takut dan tiada jiran yang nampak kejadian berlaku, suspek disyaki warga tempatan berdasarkan loghat bahasa yang digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami calar kecil pada pergelangan tangan kiri dan anggaran kerugian yang dialami mangsa lebih kurang RM5,000.

Jelasnya, pihak polis giat memburu kedua-dua suspek dan kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. –