Syukur walaupun hampir lebih 13 tahun, kos menunaikan fardhu haji masih kekal sama hanya RM 9,980 melalui Tabung Haji walaupun kos sebenarnya bertambah, sejak 2009.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, berkata kos untuk seorang jemaah haji Muassasah menunaikan haji meningkat 139 peratus daripada RM9,578 seorang pada tahun 2001 kepada RM22,900 seorang pada 2019.

Katanya, kenaikan ini disebabkan oleh faktor di luar kawalan seperti kadar inflasi, pergerakan kadar mata wang asing dan pengenalan caj dan percukaian baharu seperti Cukai Nilai Tambah (VAT), termasuk projek pembangunan semula Kota Suci Makkah dan Madinah.

Bagaimanapun, katanya perbezaan antara kos sebenar dan kos yang dibayar jemaah haji ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Haji (LTH).

“Sebagai sebuah institusi Islam yang komited dalam memastikan kebajikan jemaah haji terpelihara, LTH akan terus memberi bantuan kewangan untuk jemaah haji Muassasah yang layak,” katanya menjawab soalan lisan Senator Dato’ Juhanis Abd Aziz di Dewan Negara, hari ini.

Juhanis meminta Perdana Menteri menyatakan perancangan kerajaan untuk memastikan kos ibadah haji yang akan ditanggung bakal jemaah tidak bertambah, meskipun terdapat kebarangkalian kos keseluruhan meningkat berikutan Arab Saudi telah menaikkan VAT daripada lima kepada 15 peratus.

Idris berkata, kos, kadar bayaran dan bantuan kewangan haji akan diumumkan setelah perbincangan secara menyeluruh dibuat dengan mengambil kira keupayaan dan kedudukan kewangan LTH dan keadaan kos semasa berkaitan haji.

Sementara itu, Juhanis dalam soalan tambahan bertanya cara kerajaan mengawal atau memantau ejen swasta di bawah LTH yang turut menguruskan jemaah haji berikutan terdapat kos yang berbeza-beza antara satu ejen dengan ejen lain.

Menjawab isu ini, Idris berkata: “Mengenai hal kelainan kos ini, kita sudah pun ada satu harga yang telah ditetapkan, iaitu harga yang perlu dibayar kepada LTH ialah RM9,980. Mengenai kos lain seperti kedudukan hotel, servis (perkhidmatan) yang ada di Makkah dan Madinah, itu yang membezakan antara pakej dengan pakej tertentu,” katanya.

Tamat