KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa wang RM2.28 bilion milik syarikat 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Saksi ke-13 dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu, mengesahkan perkara berkenaan ketika dirujuk carta aliran jejak wang daripada 1MDB.

Ia didakwa melalui beberapa syarikat dan individu sebelum berakhir dalam akaun peribadi Najib dengan nombor akaun berakhir 694 dan 880.

Ismee turut dirujuk carta jejak aliran wang AS$700 juta daripada dana projek usaha sama 1MDB dan Petrosaudi International Ltd (PSI) berpangkalan di Abu Dhabi.

Aliran wang menunjukkan ia dipindahkan ke akaun syarikat Good Star Limited yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram turut menunjukkan transaksi aliran wang berkaitan Putera Turki, Abdullah dari Arab Saudi berjumlah RM30 juta.

Jumlah itu didakwa dimasukkan ke akaun peribadi AmIslamic Bank milik Najib pada 24 Februari dan 14 Jun 2011.

Sri Ram: Sila rujuk transaksi wang berjumlah AS$45 juta yang dipindah ke akaun dengan nombor terakhir 880 milik Najib, antara 17 Oktober 2014 dan 10 Disember 2014.

Ismee: Saya sahkan.

Sri Ram: Setuju dengan cadangan saya, dirumuskan bahawa RM2.28 bilion dana dipindah masuk ke dalam akaun Najib antara 2011 dan 2014.

Ismee: Saya setuju.

Dalam pada itu, Ismee berkata, beliau boleh berada dalam kedudukan bercanggah dengan Najib namun tidak dilakukannya.

Berhubung projek usaha sama dengan Arab Saudi, Ismee berkata, pada awal pelantikannya pada tahun 2009, beliau mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap Najib.

Berhubung pembabitan dalam Tabung Haji pula katanya, projek itu boleh mendatangkan faedah kepada syarikat.

“Saya percaya ia inisiatif yang baik untuk terus menjalin hubungan dengan Arab Saudi, jadi, saya ada kepercayaan yang tinggi terhadap kepimpinan, apa yang saya maksudkan ialah Perdana Menteri, Najib ketika itu,” katanya.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

Tamat

SUMBER – SINAR HARIAN