Bagaikan tidak percaya, masyarakat awam serta korporat sangat membantu dalam membiayai usaha projek wakaf air sehingga bernilai RM 860,000 pada 28 Februari lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebanyak 21 projek telah dilaksanakan setakat ini.

“Marilah kita mendoakan agar semua pewakaf diberi ganjaran yang luas oleh Allah. Pahala mengalir seperti air,” ujarnya dalam catatan di Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, banyak lagi sedang diusahakan dengan menyasarkan jumlah perbelanjaan dana wakaf sehingga RM2 juta tahun ini.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Yayasan Waqaf Malaysia.

Sementara tu, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menerusi laman rasminya memaklumkan agihan berjumlah RM860,492.98 melibatkan tiga projek di Kedah sebanyak RM102,343, Perak (tiga projek – RM100,750), Selangor (tiga projek – RM102,653.98), Negeri Sembilan (satu – RM10,000), Kelantan (lima projek – RM261,795), Pahang (lima projek – RM248,175), dan Johor (satu projek RM34,776).

Menurut YWM, jumlah kutipan sehingga 28 Februari lalu sebanyak RM3,573,849.6.

Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air (Wakaf Air) merupakan produk wakaf khas yang diwujudkan di bawah Wakaf Tunai Malaysia YWM, kerjasama antara YWM dan KASA.

Pelaksanaan kerjasama itu telah diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah YWM pada 20 Oktober 2020.

Wakaf Air bertujuan mengumpul dana wakaf bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil bernilai di bawah RM50,000, antaranya untuk sistem pengepaman sumber air dari perigi, pembelian alat-alat ganti, penyelenggaraan bersifat ‘sekali beri’ (one-off), dana bantuan operasi pencegahan serta pemulihan sistem bekalan air luar bandar dan penyediaan sumber air alternatif yang melibatkan kos penyelenggaraan yang rendah dan selamat digunakan.

Masyarakat boleh turut sama dalam pelaksanaan Wakaf Air, dengan berwakaf secara tunai melalui Sistem Wakaf Tunai Malaysia.

Menerusi di pilihan ‘Jenis Wakaf’, masyarakat hanya perlu memilih ‘Wakaf Khas / Projek (WK) dan memilih Wakaf Perkhidmatan Air (Wakaf Air). Tiada had nilai ditetapkan bagi tujuan pewakafan itu.

Sumbangan secara tunai boleh disalurkan ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia di RHB Islamic Bank melalui nombor akaun 2124-57600-01304.

Kelulusan potongan cukai kepada pewakaf yang berwakaf kepada YWM di bawah Subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967 telah tamat pada 31 Disember 2021 dan dalam tindakan penyambungan.

Justeru, semua pewakafan bermula 1 Januari 2022 adalah tidak layak mendapat potongan cukai sehingga dimaklumkan oleh YWM dari semasa ke semasa.

Tamat