Bagaikan menonton filem aksi Hollywood apabila berlaku satu kejadian tembak-menembak diantara pihak polis dan sindiket dadah terbesar di Kampung Wakaf Beruas, Terengganu semalam.

Hasil kecekapan pihak polis mengendalikan situasi akhirnya dua penjenayah berkenaan ditemui mati ditembak selepas berbalas tembakan dalam aksi kejar mengejar.

Dua penjenayah itu dikenali sebagai Pendi Buaya berusia 25 tahun berasal dari Kuala Terengganu manakala seorang lagi digelar Nuar Taman, 29, dari Marang.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, dalam kejadian jam 11.30 pagi ketika pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu dan Bukit Aman melakukan rondaan Op Kesan sebelum terserempak dengan sebuah kereta Honda Civic yang memandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Wakaf Beruas di sini.

Beliau berkata, pasukan itu kemudiannya mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan namun terus melarikan diri sebelum pihaknya bertindak mengejar kenderaan suspek.

Katanya, selepas hampir dua kilometer mengejar kenderaan dinaiki suspek, polis berjaya menghalang kenderaannya sebelum seorang daripada suspek melepaskan tembakan ke arah polis.

“Anggota kita membalas tembakan berkenaan sebelum seorang penjenayah ditemukan mati di dalam kereta manakala seorang lagi suspek melarikan diri.

“Bagaimanapun, anggota kita berjaya mengejar suspek yang bersembunyi di dalam sebuah rumah kosong yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian tembakan pertama.

“Kita mengepung rumah berkenaan dan mengarahkan suspek menyerah diri namun enggan berbuat menyebabkan kita mengambil tindakan menyerbu ke dalam rumah itu,” katanya semalam.

Wan Rukman berkata, suspek bertindak agresif apabila melepaskan tembakan ke arah polis namun terkena penghadang sebelum pasukan membalaskan tembakan berkenaan dan mengenai suspek.

“Kedua-dua suspek mempunyai 11 dan lapan rekod jenayah lampau serta aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah di sebahagian besar Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Besut dan kawasan felda sejak 10 tahun lalu.

“Selain itu, suspek turut menjalankan kegiatan pengedaran dadah ke beberapa negeri lain antaranya Selangor,” katanya.

Tamat