Pastinya ramai tersenyum gembira apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kakitangan negeri bakal menerima ‘bonus raya’ sebanyak RM 1000.

Bantuan Khas Aidilfitri itu akan diberikan tepat pada 28 April ini selepas ianya diputuskan pada mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, semalam.

Menurutnya kelulusan itu membabitkan semua kakitangan awam kerajaan negeri pelbagai peringkat dan jawatan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM5.35 juta.

“Insya-Allah semua kakitangan awam kerajaan negeri akan memperolehi bantuan khas itu hujung bulan April ini,” katanya pada satu kenyataan.

Semalam Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 bagi penjawat awam Persekutuan gred 56 dan ke bawah.

Manakala bantuan sebanyak RM250 akan diberi kepada pesara kerajaan.

Sanusi juga berkata, mesyuarat Exco meluluskan bantuan yang sama kepada pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) seluruh Kedah.

Menurutnya sumbangan itu melibatkan 2,050 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM307,500.

“Semua sumbangan kepada pengerusi dan setiausaha JPKK akan diserahkan melalui Pusat Khidmat Adun masing-masing pada minggu ke empat April ini,” katanya.

Tamat