Pastinya ramai kehairanan apabila sebuah pesawat kargo jenis Boeing 757-200 milik syarikat penghantaran DHL akhirnya terputus dua dalam satu insiden pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juan Santamaria di Costa Rica semalam.

Pesawat berkenaan dipercayai terbabas ketika membuat satu pendaratan kecemasan sehingga menyebabkan bahagian ekor pesawat dilihat terpisah daripada badannya dan salah satu sayapnya juga patah.

Pengendali lapangan terbang berkenaan, Aeris, berkata kemalangan itu berlaku jam 10 pagi waktu tempatan dan kerja pembersihan selesai serta lapangan terbang dibuka semula jam 3:30 petang semalam.

Menurutnya lagi, penerbangan kira-kira 8,500 pengembara dan 57 penerbangan kargo komersial terjejas akibat penutupan sementara lapangan terbang itu.

DHL, sebahagian daripada Deutsche Post AG, berkata semua kru pesawat selamat dengan hanya seorang menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Gambar disiarkan akhbar Costa Rica, La Nacion, menunjukkan sebuah pesawat berwarna kuning dengan logo DHL tertera di sisinya sedang disembur dengan buih pencegah kebakaran selepas ia tersadai di padang berhampiran landasan.

Menurut Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Costa Rica, Luis Miranda Munoz, pesawat berkenaan dijadualkan terbang ke Guatemala apabila mengalami kegagalan sistem hidraulik.

Justeru, juruterbang meminta kebenaran untuk melakukan pendaratan kecemasan sejurus selepas berlepas.

Jurucakap Boeing Co berkata pihaknya hanya akan menjawab kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.

DHL dan pihak berkuasa lapangan terbang berkata mereka sedang bekerjasama bagi mengalihkan pesawat itu tanpa menjejaskan operasi harian lapangan terbang.

“Pasukan tindak balas DHL sudah digerakkan dan siasatan akan dijalankan bersama pihak berkaitan bagi merungkai punca kemalangan,” kata DHL.

Tamat