Pertambahan 55 usahawan ternak di Perak bakal memenuhi bekalan daging segar di negeri itu sekaligus meminimumkan kebergantungan kepada penjualan untuk musim perayaan seperti Hari Raya Aidiladha (korban) semata-mata.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Tuan Haji Razman Bin Zakaria berkata, Perak SADC selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sedang giat dalam usahanya memperkasakan usahawan ternakan lembu tempatan demi meningkatkan hasil daging segar bagi memenuhi permintaan domestik.

“Perak SADC telah mengorak langkah pertama dengan bergiat aktif dalam projek pembekalan daging segar tempatan serta melibatkan pembelian lembu tempatan, penyembelihan sehingga karkas dan seterusnya jualan pasaran yang tertumpu kepada segmen hotel, restaurant & cafe (HORECA) melalui anak syarikat Perak SADC, Eurofresh Sdn. Bhd.

“Projek berkenaan merupakan salah satu langkah awal Perak SADC untuk membangunkan Hub Daging Segar yang dijangka dapat memberikan pendapatan tambahan kepada usahawan.

” Selain itu Program Usahawan Freezer yang bakal memberi manfaat kepada 100 orang usahawan dimana setiap usahawan berkenaan disediakan dengan peti sejuk beku (freezer) dan bekalan daging pertama dan dibantu sehingga mempunyai kedai sendiri,” katanya ketika sesi bersama media semalam.

Razman berkata Perak SADC turut mensasarkan pembelian lembu tempatan sebanyak 200 ekor sebulan bagi tujuan pemasaran daging segar yang melibatkan kos belian sebanyak RM9.6 juta setahun.

“Pada tahun 2022 bermula bulan Februari sehingga kini, sebanyak 440 ekor lembu tempatan telah dibeli dan dipasarkan.


“Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) juga telah meluluskan dana sebanyak RM5 juta kepada Perak SADC dimana RM3.2 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukan bakal digunakan untuk urusan pembelian 800 ekor lembu hidup.

“Manakala baki sebanyak RM1.8 juta lagi akan digunakan bagi menaiktaraf fasiliti Dusun Rasau Perdana, Gelong Gajah serta memantapkan lagi perniagaan Usahawan Ternak.

“Bagi meneruskan perancangan dan mengembangkan peranan dalam industri ini, Perak SADC bakal menaiktaraf fasiliti-fasiliti feedlot milik usahawan ternak selain membangunkan pusat pengumpulan lembu di Lekir yang akan menjadi tapak perintis bagi pembangunan Hab Daging Halal utama di kawasan tersebut,” katanya.

Menurutnya pada masa yang sama, Perak SADC juga sedang dalam usaha bagi membangunkan pusat pemprosesan daging tempatan di Behrang bertujuan melancarkan lagi perjalanan khususnya melibatkan projek lembu tempatan ini.

Tamat