Demikian kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Hadi Awang apabila ditanya pihak media berkenaan isu lompat parti.

Menurut beliau, isu lompat parti bukan baharu dan PAS menangani masalah itu dengan bai’ah atau dalam pengertiannya berjanji memberi ketaatan.

“Kita bukan baru dan kita tangani masalah ini sudah lama, dengan sebab itu PAS sebut dalam sumpah ‘bai’ah’ dia.

“Mana-mana wakil rakyat yang lompat parti, wajib dia letak jawatan. Kalau tak letak jawatan akan dilaknat oleh Allah, laknat oleh semua yang melaknat.

“Itu ada dalam bai’ah, kita sebut, kita sudah ikat, kita sudah lama dalam masalah ini,” katanya kepada media semalam.

Beliau pada masa sama menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti memerlukan penelitian serta tidak perlu tergopoh dalam pelaksanaan.

“Memang undang-undang ini perlu kepada penelitian, tak perlu gopoh dan kita tidak gopoh dalam masalah ini. 

“Kita kena sedar bahawa lompat parti ini ada sebab-sebab. Kalau sebab-sebab itu betul, kita tidak boleh tolak. Kalau sebab-sebab itu salah baru kita tolak.

“Ini perlu kepada penafsiran, kerana perjuangan kita untuk selamatkan rakyat bukan selamatkan diri.

“Jika parti itu tidak betul, takkan dia nak ikut parti itu lagi termasuklah parti PAS pun. Kalau parti PAS ubah dasar dia, orang PAS tak boleh ikut. Dengan sebab itu kena adalah huraian-huraian dia, tak boleh buat mudah-mudah sahaja,” katanya.

Tamat