Warga asing kini bertindak semakin melampau, mereka lebih samseng, berani melakukan provokasi serta bertindak sesuka-hati dan menggunakan kekerasan terhadap penguatkuasa DBKL kelmarin.

Pahit untuk ditelan, namun itulah realiti yang terpaksa kita hadap selepas terlalu banyak peluang yang diberikan kepada mereka, mereka besar kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Heisham Harun berkata pihaknya menerima laporan daripada penguat kuasa DBKL tersebut pada 6.41 petang melibatkan dua warga asing yang enggan bekerjasama dan melakukan provokasi agresif.

“Semasa penguat kuasa DBKL tersebut sedang melakukan rondaan, mereka terserempak dengan dua warga asing sedang berniaga di kawasan kaki lima bank tersebut dan bertindak menyita barangan mereka.

“Namun pasangan suami isteri itu bertindak menepis tangan pihak berkuasa yang sedang merakam video sehingga menyebabkan telefon bimbitnya jatuh dan rosak,” katanya dalam kenyataan pada semalam.

Heisham berkata pasangan suami isteri itu turut mengeluarkan kata-kata kesat dan meludah ke arah muka seorang daripada penguat kuasa DBKL selain mengoyakkan baju sendiri serta menuduh perbuatan tersebut dilakukan penjawat awam tersebut bagi mengelak dirinya ditangkap.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, kedua-dua warga asing berkenaan ditahan di tempat kejadian dan direman hingga 22 April bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Tamat