26 pertuduhan, menanti ahli perniagaan Nicky Liow selepas setahun diburu pihak polis akibat terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram bernilai RM 36 juta kini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas setahun ‘menghilang’.

Nicky, 34, yang juga Pengarah Syarikat Dream Vision Media Sdn Bhd, Winner Dynasty Travel & Leisure Sdn Bhd dan Nicky Fashion House Enterprise mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Perbuatan itu dilakukan di Malayan Banking Berhad, cawangan Bandar Puteri Puchong dan Ampang pada 2016 hingga 2021.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4(1)(a) dan 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rozaliana Zakaria, Syafinas Shabudin dan Noor Zalizan Lazarous manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Rajpal Singh,Jay Moy Wei Jiun serta Mardhiyah Siraj.

Semasa prosiding, Rozaliana tidak menawarkan ikat jaminan kerana dia dituduh atas kesalahan yang tidak boleh dijamin.

“Selama ini tertuduh menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan polis lebih setahun.

“Pelbagai usaha dibuat untuk mengesannya termasuk siaran di media massa, notis merah Interpol dan waran tangkap di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Noor Zalizan berkata, sekiranya mahkamah ingin menawarkan ikat jamin, pendakwaan mencadangkan kadar itu ditetapkan sebanyak RM3.6 juta dengan dua penjamin.

“Tertuduh juga perlu melaporkan diri di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Bukit Aman setiap dua minggu dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, Rajpal merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar kurang RM1 juta dengan dua penjamin serta tidak membantah jika dikenakan syarat tambahan.

“Nicky tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana sepanjang tahun ini, dia berada dalam negara malah pasportnya dipegang oleh pihak polis.

“Jika mahu lari, dia tidak akan serah diri sebaliknya anak guam saya mahu membuktikan dirinya tidak bersalah,” katanya.

Hakim Helina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak.

Sebutan semula kes pada 26 Mei depan.

Tamat