Johor Bahru: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan seorang kerani wanita dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000, akibat kesalahan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar memerintahkan hukuman penjara ke atas wanita berusia 27, itu bermula hari ini.

Wanita itu juga hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan dan sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjara enam bulan.

Dalam penghakimannya, hakim berkata pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang telah membuktikan dengan jelas intipati kesalahan.

“Perbuatan responden yang memandu cara melulu atau merbahaya telah menyebabkan kehilangan lapan lapan nyawa. Mahkamah ini mengikuti pendekatan nas duluan yang mengambil kira bilangan mangsa yang terlibat dalam menjatuhi hukuman,” kata beliau.

Keputusan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepaskan dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

Pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan pada 18 Feb 2021, Mahkamah Tinggi telah mengarahkan wanita itu, yang merupakan seorang jurujual ketika kejadian, supaya membela diri.

Abu Bakar, ketika membaca keputusan membenarkan rayuan pendakwaan itu berkata pihaknya berpuas hati segala intipati kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah berjaya dibuktikan.

Beliau berkata mahkamah bicara telah terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan wanita itu secara tidak bersumpah bersifat penafian semata-mata atau selepas berfikir.

“Dalam pembelaannya (wanita itu) menyatakan tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar basikal si mati dan telah melarikan diri. Versi ini tidak pernah ditimbulkan semasa kes pendakwaan,” kata beliau.

Hakim juga berkata mahkamah bicara telah terkhilaf apabila gagal menimbangkan pembelaan wanita itu telah tidak menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah atas kes pendakwaan bagi pertuduhan memandu kereta secara merbahaya mengambil kira keadaaan jalan yang berselekoh dan berbukit sedikit.

“Mahkamah bicara terkhilaf apabila menerima pembelaan yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu keretanya secara merbahaya sehingga mengorbankan mangsa yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Responden seharusnya memandu keretanya dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu dengan laju sehingga menyebabkan kemalangan tersebut. Responden sepatutnya menyedari kemalangan pencahayaannya tidak begitu terang pada jam lebih kurang 3.20 pagi,” kata beliau.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan mempertimbangkan prinsip kepentingan awam.

Bagaimanapun, wanita itu yang diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar, merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan ini kesalahan pertama anak guamnya yang menanggung kedua ibu bapanya.

Muhammad Faizal turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas responden yang hukumannya bermula hari ini.

Bagaimanapun, hakim tidak membenarkan penangguhan berkenaan selagi tidak menerima kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan.

Mahkamah juga mengarahkan agar butiran sabitan dicatat dalam lesen memandu responden selain ia diserahkan pada atau sebelum esok untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, wanita yang berbaju kemeja putih berbelang dan berseluar warna coklat muda, hadir ditemani seorang rakannya tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Remaja yang maut dalam kejadian itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Tamat