Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini yang beliau mengesyaki bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terbabit dalam ‘perancangan’ berkaitan projek usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Mohd Bakke yang juga saksi pendakwaan ke-13 ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas berkata, disebabkan itu beliau tidak menemui Najib sebelum meletak jawatan pada 2009.

Mohd Bakke berkata, apa yang menguatkan lagi rasa curiganya terhadap Najib ialah bagaimana kaedah suntikan dana AS$1 bilion oleh 1MDB melalui usaha sama itu dipersetujui.

Katanya, rasa curiga itu timbul kerana projek usaha sama berkenaan dilakukan dengan tergesa-gesa yang turut menimbulkan rasa tidak selesa kalangan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) lain ketika mesyuarat BOD pada 18 September 2019, selepas mereka mengetahui kaedah pelaburan itu dilaksanakan.

“Dalam mesyuarat BOD pada 26 September, BOD mengambil keputusan untuk meluluskan projek itu tertakluk kepada beberapa syarat.

“Sekali lagi, BOD mengingatkan pengurusan untuk mematuhi beberapa syarat, tetapi pada masa sama perjanjian usaha sama itu ditandatangani dengan dana bagi projek berkenaan dibahagikan menyebabkan kami merasa terkejut,” katanya pada perbicaraan terhadap Najib dalam kes pindaan laporan akhir pengauditan 1MDB.

Mahkamah sebelum ini diberitahu dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB dihadapi Najib, melalui kerjasama 1MDB-PSI itu, 1MDB menyuntik dana berjumlah AS$1 bilion sebagai modal permulaan yang dibayar secara tunai.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu AS$700 juta dilencongkan ke dalam syarikat Good Star Ltd yang kemudian didapati merupakan sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Mahkamah juga diberitahu bahawa perjanjian usaha sama 1MDB-PetroSaudi PSI meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta, berpunca daripada pindahan dana 1MDB kepada Good Star.

Muhammad Shafee kemudian mempersoalkan mengapa saksi menyalahkan Najib sedangkan pihak pengurusan yang tidak mengikut arahan BOD dan beliau (Mohd Bakke) juga tidak memberikan taklimat kepada Najib berhubung ketidakpatuhan itu.

Mohd Bakke berkata, beliau boleh merumuskan bahawa jika tidak kerana panggilan telefon yang dibuat Najib (melalui telefon Jho Low), BOD tidak akan mempercepatkan projek usaha sama itu yang boleh dilaksana mengikut proses normal.

Pada peringkat itu, Muhammad Shafee menyatakan bahawa saksi tidak menjawab soalan dan asyik mengulang perkara sama setiap kali ditanyakan mengapa beliau mengesyaki Najib.

Saya bersama kamu dan mahu ‘hentam’ pengurusan. Kenapa kamu hendak hentam perdana menteri sedangkan BOD diperdayakan? Saya tidak mempersoalkan integriti kamu, saya cuma hendak memahami apa yang berlaku sehingga menyebabkan anak guam saya berada di sini (didakwa)?

“Tetapi pengurusan di bawah kamu, kenapa kamu hendak menyalahkan perdana menteri?” katanya.

Mohd Bakke bagaimanapun berkata, peguam itu perlu melihat kepada keseluruhan proses dan tidak wajar bertanyakan soalan secara spesifik.

Pada perbicaraan sebelum ini, Mohd Bakke dalam keterangannya berkata, BOD 1MDB diminta oleh Najib untuk tidak menghabiskan masa dengan meneliti transaksi lepas syarikat, sebaliknya menumpukan kepada cadangan usaha sama dengan PSI.

Mohd Bakke berkata, perkara itu disampaikan Najib melalui panggilan telefon selepas beliau (Najib) selesai bercakap dengan Jho Low ketika Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada September 2009.

Saksi itu merujuk kepada mesyuarat BOD yang dihadirinya yang turut disertai Jho Low di mana ahli perniagaan itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada Najib.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Sumber – Harian Metro

Tamat