Amerika Syarikat seperti mana sedia maklum ‘kononnya’ sentiasa mahu menjadi orang penyibuk hal negara asing apabila Presidenya, Joe Biden mengumumkan tambahan AS$800 juta (RM3.38 bilion) bantuan ketenteraan kepada Ukraine semalam yang antara lain turut meliputi pembekalan helikopter dan artileri berat.

Bantuan diumumkan Biden itu menyusul ketika Russia dijangka menggerakkan serangan lebih hebat di timur Ukraine.

Melalui satu kenyataan selepas berhubung dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerusi panggilan video, Biden berkata keseluruhan pakej disediakan untuk membantu menangani serangan Russia berjumlah lebih AS$2.5 bilion (RM10.5 bilion).

Menurutnya, ia termasuklah sistem artileri, peluru, kereta perisai pengangkut personel (APC) dan bot pertahanan pesisir pantai tanpa pemandu.

Biden turut memaklumkan, beliau meluluskan pemindahan helikopter tambahan, malah berkata peralatan dibekalkan kepada Ukraine ‘sangat kritikal’ kerana negara itu kini berdepan pencerobohan.

“Kita tidak boleh berehat sekarang. Seperti yang saya yakinkan kepada Presiden Zelensky, rakyat AS akan terus berdiri bersama rakyat Ukraine yang berani dalam perjuangan mereka untuk kebebasan,” katanya.

Pakej terbaharu diumumkan Biden itu termasuklah 11 helikopter Mi-17 yang diperuntukkan untuk Afghanistan sebelum kerajaan disokong AS tumbang tahun lalu. Turut disenarai AS termasuk 18 howitzer 155mm bersama 40,000 peluru artileri, radar artileri balas, 200 APC dan 300 dron ‘Switchblade’ tambahan.

Jurucakap Pentagon, John Kirby berkata, sesetengah sistem seperti howitzer dan radar memerlukan latihan tambahan memandangkan tentera Ukraine tidak biasa menggunakan kelengkapan tentera AS.

“Kami sedar dengan kekangan masa dan waktu tidak bersama kami,” katanya ketika ditanya mengenai jangka masa penghantaran bekalan itu.

Ketika berita tentang bantuan keselamatan terkini keluar, eksekutif dari pembuat senjata terkemuka AS bertemu dengan pegawai Pentagon untuk membincangkan cabaran industri sekiranya konflik Ukraine berlarutan.

Tamat.