“Alhamdulillah sempat saya tepis tikaman pisau yang daripada daripada nelayan Vietnam itu walaupun diuji Allah dengan kecederaan di tapak tangan sewaktu bertugas Ramadhan ini,” itu yang diucapkan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan apabila berdepan dengan situasi berkenaan.
Kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 5 petang apabila APMM menahan bot warga Vietnam di lokasi 46 batu nautika dari Tok Bali di sini kelmarin yang dilihat mencurigakan.
Pengarah APMM Kelantan, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, APMM mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menghentikan sebelum menahan bot tersebut.
Menurutnya, apabila bot itu ditahan, seorang anggota APMM berusia 32 tahun menerpa masuk ke dalam rumah kemudi bot untuk mengambil alih kawalan bot nelayan berkenaan namun, tekong bertindak mengacukan pisau dan cuba menikamnya.
“Insiden itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka sehingga bahagian tapak tangan kiri anggota itu cedera. Seorang lagi anggota APMM pula cedera pada ibu jari kanan semasa bergelut dengan nelayan yang lain.
“Bagaimanapun, tekong dan kesemua nelayan warga Vietnam berusia dalam lingkungan 20 hingga 48 tahun berjaya ditahan. Pemeriksaan mendapati, semua warga Vietnam itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya beliau berkata, bot itu juga tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985.
Oleh itu, APMM turut merampas bot yang dinaiki nelayan-nelayan itu, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan ikan kira-kira 500 kilogram dan 500 liter minyak diesel dengan anggaran nilai sebanyak RM1.5 juta.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 16 (3) akta yang sama.
Tamat