Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa hanya rakyat yang berhak menentukan siapa bakal Perdana Menteri.

“Kita serah kepada rakyat, pilihan raya dok (belum) lagi. Rakyat menentukan keputusan pilihan raya. Jadi, rakyat yang akan menentukan siapa dia (Perdana Menteri), parti mana.

“Tak perlu gopohlah, jadi macam Johor. Calon orang lain, naik orang lain. ‘Order’ barang lain, sampai barang lain,” ujarnya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat, di Masjid Rusila, hari ini.

Beliau berkata PAS menyerahkan keputusan kepada rakyat bagi menentukan siapa calon Perdana Menteri (PM) dan dari parti mana yang akan diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun, katanya tidak perlu gopoh kerana dibimbangi akan berlaku seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau ditanya mengenai keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang mencadangkan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon PM pada PRU15.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, kerjasama PAS-Umno melalui Muafakat Nasional (MN) masih diteruskan.

Mengenai keputusan Umno untuk tidak meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai hadapan, katanya ia akan diputuskan bersama dalam komponen Perikatan Nasional (PN).

“MoU, kita akan buat keputusan bersama dengan Perdana Menteri, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yasin dan saya sendiri dan parti-parti komponen.

“Kita bersetuju sebarang keputusan mesti dibuat bersama, kerana kerajaan ini, kerajaan Perikatan Nasional, 70 kerusi adalah PN dan gabungan Umno sebahagian daripadanya,” kata beliau.

Semalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan Presidennya, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan MoU itu tidak disambung semula

Tamat