Sekali lihat tajuknya seakan di negara asing, namun itulah hakikatnya pokok ganja menjadi pilihan seorang penganggur berumur 42 untuk menjadikanya seorang petani hasil ilmu daripada YouTube.

Namun, aktiviti pertanian ladang ganja itu disebuah pondok belakang rumahnya di Taman Menteri Changkat, Taiping berjaya dihidu oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah menyerbu pondok lelaki itu hasil aduan awam.

Menurutnya, operasi pada pukul 3.45 petang itu berjaya menahan suspek berusia 42 tahun yang masih bujang manakala pemeriksaan dalam pondok menemui tiga pasu ditanam pokok ganja.

“Penggeledahan di dalam salah sebuah bilik rumah pula menjumpai tiga peket lut sinar berisi daun ganja seberat 16.58 gram (g) di atas lantai.

“Turut ditemui enam tiub plastik kecil dan satu tiub straw berisi biji-biji benih ganja dengan anggaran berat 4.54g,” katanya pada sidang akhbar di IPD Taiping hari ini.

Difahamkan, pokok ganja yang dirampas baru berusia enam bulan dan daunnya boleh dituai setelah berusia sembilan bulan. 

Tamat