Acap kali musim perayaan menjelang Aidilfitri, pastinya akan ada jari yang menjadi korban akibat kerakusan bermain mercun bola dan sebagainya. Akibatnya seorang pelajar 14 tahun hilang tiga jari tangan selain pecah gegendang telinga.

Oleh sebab berkenaan pelajar berkenaan dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, selain itu, mangsa turut luka di bahagian leher akibat percikan api.

“Mangsa dipercayai bermain mercun bola di hadapan rumahnya di Kampung Lembah, Beris Kubur Besar dan tidak sempat membaling mercun itu sebelum ia meletup,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Ismail berkata, abang mangsa membawa pelajar itu ke Klinik Kesihatan Beris Kubor Besar, Tawang dan pegawai kesihatan daerah mengesahkan kehadiran itu pada 4.45 petang, sebelum mangsa dirujuk ke HUSM.

Katanya, pihaknya menjalankan siasatan susulan gambar tular mengenai kejadian itu di media sosial.

“Sehingga kini tiada laporan polis dibuat dan mangsa sudah menjalani pembedahan membuang tiga jari dan dalam perhatian pakar,” katanya.

Beliau menggerakkan pasukan pemantau untuk memantau kegiatan bermain barang larangan itu dan meminta orang ramai supaya lebih cakna keselamatan diri.

Tamat