Ya sememangnya naga, yang membuatkan ramai pelancong seakan terkejut apabila melihat berpuluh bangkai naga laut di tepi pantai sekitar New South Wales, Australia.

Fenomena ini turut mengejutkan pakar-pakar hidupan marin apabila naga laut berkenaan muncul selepas hujan turun lebat selama beberapa minggu di negara itu, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

“Jelas sekali ia adalah kesan daripada beberapa kombinasi fenomena termasuk cuaca yang luar biasa, bahan pencemar yang dihanyutkan ke lautan dan kejadian ombak besar,” jelas Profesor Ekologi Marin di Universiti Teknologi Sydney, Dr. David Booth kepada akhbar Sydney Morning Herald.

Beberapa ekor naga laut rumpai ditemui terdampar di pantai Cronulla, Malabar dan Central Coast dengan jumlahnya dianggap 10 kali ganda berbanding biasa.

Spesies berkenaan sering ditemui di perairan Australia, namun adalah sesuatu yang luar biasa bagi haiwan itu untuk sesat begitu jauh dari habitat asal.

Naga laut dewasa dianggarkan hanya berenang sejauh 50 hingga 500 meter dari habitatnya.

“Perkara ini boleh menyebabkan spesies tersebut kehilangan habitat dan mengubah faktor persekitaran,” tambah ketua penyiasat, Dr. Selma Klanten.

Naga laut terkenal dalam kalangan penyelam kerana memiliki warna yang berbeza seperti kuning dan ungu. Pertumbuhannya boleh mencapai sepanjang 45 sentimeter dan kebiasaannya tinggal di antara terumbu karang serta berkait rapat dengan kuda laut.

Ia pernah disenaraikan sebagai spesies terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) dan sesiapa yang cuba mengutip atau membelanya tanpa permit, adalah didapati melakukan kesalahan.

Tamat