Melihat kepada kesengsaraan Bella, gadis OKU sindrom down yang diseksa demikian rupa pastinya luluh lebur hati manusiawi apabila dipaksa mendengar kisahnya makan najis sendiri, makan nasi berulam 80 cili api, serta ayam busuk. T

Tidak cukup dengan itu, badannya dicucuh api, cukup menyeksakan sesiapa yang membayangkanya, tampil TMJ, Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor secara langsung menawarkan perkhidmatan peguam-peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati.

Kenyataan TMJ ini menjadi penyelamat buat semua netizen di Malaysia yang mahukan keadilan buat Bella.

“Saya telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella. Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT (orang kena tuduh) dalam kes ini.

“Saya akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan menawarkan perkhidmatan peguam-peguam saya secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat untuk kes ini,” titah TMJ menerusi laman sosial rasmi Facebook HRH Crown Prince of Johor.

Ia diumumkan susulan isteri baginda, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam yang menyatakan kesediaan membantu Bella mendapat keadilan sewajarnya.

Tamat