Etnik Rohingya yang diberi perlindungan dan makanan secara percuma sebagai ihsan kerajaan Malaysia kini mula menunjukkan belang mereka.

Hari ini hampir 700 daripada mereka melakukan rusuhan serta melarikan diri daripada Depot Imigresen Sementara Relau Bandar Baharu, sekitar jam 4 pagi tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata siasatan awal mendapati tahanan melarikan diri selepas berjaya memecahkan pintu blok dan pagar penghadang di depot berkenaan.

Usaha warga asing bagi melarikan diri itu turut membawa kepada nasib malang apabila enam tahanan termasuk dua kanak-kanak yang cuba menyeberangi Lebuh Raya Utara-Selatan di Kilometer (KM) 165 dekat Nibong Tebal di sini maut dilanggar kenderaaan.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kumpulan warga asing berkenaan kemudiannya tidak lagi berani melintas lebuh raya sejurus kejadian dan hanya menyelusuri bahu lebuh raya tanpa arah tuju.

“Kita kemudian berjaya menahan 229 di KM168 yang turut dibantu oleh sekumpulan anak muda yang menjejaki mereka.

“Orang kampung juga berjaya menahan 88 daripada mereka sebelum diserahkan kepada pihak imigresen,” katanya pada sidang akhbar di KM 168 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan seramai 528 daripada 663 warga asing di depoh berkenaan telah meloloskan diri.

“Ketika ini, kita buru 205 lagi mereka dan memerlukan tenaga yang sepenuhnya selain bantuan orang ramai diperlukan,” katanya.

Tamat