Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah selepas merampas syabu dan ganja seberat 258 kilogram bernilai RM7.74 juta dalam lima serbuan di Kedah dan Pulau Pinang pada 16 hingga 18 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, melalui operasi berkenaan polis turut menahan sembilan suspek lelaki berusia lingkungan 31 hingga 52 tahun yang dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan.

“Operasi melibatkan lima serbuan di Kedah dan Pulau Pinang yang mana operasi pertama berjaya menangkap empat suspek di Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Susulan tangkapan itu, kita membuat serbuan di Sungai Petani dan menjumpai syabu seberat 212 kg dan ganja seberat 46 kg disorokkan di sebuah rumah. Lima lagi suspek ditahan dalam operasi kedua,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah menyeludup bekalan dadah dari Kelantan ke Kedah melalui jalan darat sebelum diedar di pasaran tempatan.

Tamat