KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan kepada firma audit Tetuan KPMG bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak boleh mendedahkan butiran terperinci mengenai pelaburan syarikat itu di Brazen Sky Limited kerana ia sulit.

Rakan Kongsi Urusan KPMG, Datuk Johan Idris, berkata dalam satu pertemuan di rumah Najib di Jalan Taman Duta pada jam 9.30 malam, 15 Disember 2013, bekas perdana menteri itu turut mempersoalkan mengapa KPMG masih menimbulkan syak terhadap ‘underlying assets’ (aset asas) pelaburan berkenaan.

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa Brazen Sky Ltd adalah syarikat perantara tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan rakan sekutunya untuk menghantar pulang wang pelaburan oleh 1MDB.

Johan selaku saksi pendakwaan ke-14 berkata, dalam mesyuarat itu, Najib menyatakan bahawa beliau sedia maklum mengenai pelaburan 1MDB di Brazen Sky

Beliau yang membacakan pernyataan saksinya , berkata Najib kemudian bertanyakan kepadanya (Johan) sama ada boleh menerima penjelasan itu dan sama ada penjelasan berkenaan mencukupi bagi pihak KPMG untuk mengeluarkan Laporan Audit (yang tidak bersyarat)..

Katanya, beliau bagaimanapun menyatakan memerlukan bukti bagi melengkapkan proses audit mengikut peruntukan seperti mana tertera dalam Standard Perakaunan Antarabangsa (ISA) dan Standard Laporan Kewangan (FRS).

“Di mana mengikut peraturan FRS juga termaktub di dalam Akta Syarikat, 1965 dan saya memaklumkan sekiranya pihak KPMG tidak dapat melengkapkan proses pengauditan pelaburan 1MDB maka, kami akan mengeluarkan laporan bertegur ‘Disclaimer of opinion’ terhadap akaun 1MDB.

“Najib menyuarakan kerisauan terhadap kelambatan penyediaan akaun dan beliau ingin mengetahui status audit 1MDB… beliau juga bertanyakan mengapa KPMG tidak boleh menerima pengesahan yang dibuat oleh BSI Bank mengenai dana 1MDB bernilai AS$2.3 bilion.

“Saya menyatakan bahawa BSI Bank tidak memberikan butiran lengkap kepada KPMG untuk menyelesaikan mengaudit aset asas… tanpa maklumat itu, KPMG tidak boleh menjalankan prosedur audit untuk mengesahkan bahawa penilaian berkenaan adalah betul,” katanya.

Johan berkata, dalam pertemuan itu beliau turut memaklumkan oleh kerana standard perakaunan mempunyai kuasa undang-undang, ketidakpatuhan kepadanya menunjukkan bahawa 1MDB juga tidak patuh kepada undang-undang.

Beliau berkata, Najib juga memaklumkan bahawa BSI Bank adalah bank antarabangsa dan beberapa perkara lain untuk meyakinkan KPMG, tetapi beliau menyatakan maklumat diperolehi firma audit itu tidak dapat membantu untuk menandatangani penyata akaun 2013, kerana memerlukan maklumat aset asas untuk diaudit.

Katanya, ketika itu beliau yang banyak menjelaskan kepada Najib mengenai keperluan KPMG untuk menandatangani akaun berkenaan.

“Najib kemudian bertanya kepada saya bagaimana untuk 1MDB mendapatkan maklumat itu dan Pengarah 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin meminta KPMG untuk berlaku adil dan tidak meminta sesuatu yang tidak boleh 1MDB sediakan.

“Sebelum perjumpaan berakhir Najib menyatakan ingin melihat akaun 1MDB ditandatangani oleh KPMG sebelum atau pada 31 Disember 2013, namun saya tidak memberikan sebarang maklum balas kepada beliau.

“Saya juga tidak faham mengapa pihak 1MDB enggan mendedahkan maklumat asas yang dikatakan adalah sulit. Tambahan juga tiada sebarang dokumen sokongan dikemukakan kepada saya pada ketika itu untuk menunjukkan maklumat itu adalah rahsia,” katanya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, T Deepa Nair pada pemeriksaan utama, Johan berkata ia seolah-olah Najib memberikan arahan (bagi menandatangani akaun 1MDB).

Mahkamah sebelum ini diberitahu, bahawa lembaga pengarah (BOD) 1MDB diperdaya apabila pengurusannya memberi bayangan bahawa wang pelaburan 1MDB akan masuk semula ke dalam dana syarikat pada tahun 2014.

Tamat

Sumber – Berita Harian