Video tular Tik-Tok kini turut menjangkiti sebahagian para petugas awam, sehinggakan ada pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) kini dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi applikasi berkenaan.

Lebih membimbangkan, video operasi pemeriksaan di pusat hiburan itu berkenaan itu turut ditayang live kepada 1,900 penonton dan mendapat reaksi tinggi dikalangan pengikutnya sehingga mencapai sasaran 100,000 pengikut.

Sementara itu JABATAN Integriti Pematuhan Standard (JIPS) diarah menyiasat video tular berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam perkara seperti itu dan tindakan akan diambil sekiranya benar pegawai terbabit mempunyai motif merakam video kerana ingin mengumpulkan pengikut laman sosial akaun TikTok miliknya.

Razarudin berkata, pada masa ini, pihaknya sedang meneliti bila dan di mana rakaman video secara langsung itu dibuat.

“Saya sudah mengarahkan JIPS untuk ambil tindakan terhadap pegawai terbabit termasuk memanggilnya bagi mendapatkan kenyataannya berhubung tindakan membuat video secara langsung semasa operasi itu.

“Kita juga ingin mengetahui motif dan tujuan sebenarnya membuat rakaman menerusi akaun TikTok miliknya,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Razarudin berkata, satu arahan berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama membabitkan aplikasi TikTok akan dikeluarkan oleh JIPS.

“Pihak JIPS tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya benar pegawai terbabit mempunyai motif merakam video berkenaan semata-mata mengumpulkan pengikut di laman sosial akaun TikTok miliknya,” katanya.

Dalam video berdurasi satu minit 38 saat itu wanita berpakaian jaket seragam operasi PDRM berpangkat Asisten Superintendan (ASP) menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.

Tamat