Hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum warga kota Kuala Lumpur pulang ke kampung halaman bagi menyambut kehadiran Syawal, namun timbul satu kegusaran baru apabila sesetengah lokasi di pusat bandar mulai dilanda banjir

Menerusi tinjauan mendapati keadaan hujan lebat yang berterusan lebih satu jam telah menyebabkan beberapa lokasi di ibu kota dinaiki air dan menyebabkan banjir.

Oleh itu beberapa laluan yang dinaiki air adalah di Jalan Segambut, Jalan Kuching, Jalan Pudu, Jalan Ampang dan Jalan Tuanku Abdul Halim.

Pusat Pengurusan Pengangkutan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (ITIS DBKL) dalam kenyataannya berkata, keadaan air naik dengan pantas ini ditambah dengan paras air sungai yang meningkat secara mendadak.

“Banjir kilat serta air melimpah dari sungai telah menjejaskan trafik dengan teruk di Jalan Segambut,” kata jurucakap ITIS.

Sementara itu, Alias Ahmad, seorang pengguna jalan raya berkata, dia tidak menyangka paras air naik dengan begitu cepat.

“Keadaan menjadi sesak menyebabkan semua kereta tidak dapat ke mana-mana, namun semua masih bernasib baik kerana paras air di jalan raya turun dengan cepat.

“Apa yang kami risau ialah sekiranya berlaku hujan lebat apabila musim perayaan Aidilfitri berlangsung nanti. Ini kerana boleh dikatakan semua warga kita akan pulang ke kampung.

“Sekiranya apa-apa berlaku, kami tiada mempunyai sebarang keupayaan untuk melihat keadaan rumah dan kereta yang ditinggalkan selama beberapa hari,” katanya.

Tamat