Tiada siapa sangka akan berlaku satu letupan besar akibat proses pelupusan mercun dan bunga api, di stor simpanan rampasan bahan bukti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, sehingga menyebabkan tiga orang awam cedera, dan 50 kenderaan lain rosak petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, polis meminta bantuan semua mangsa itu untuk mengangkat serta membersihkan mercun dan bunga api berkenaan.

“Ketika mereka sedang membersihkan, tiba-tiba berlaku kebakaran yang mengakibatkan letupan.
“Ekoran itu tiga pekerja yang merupakan orang awam cedera ringan terkena serpihan letupan,” katanya di sini, pada Selasa.

Eng Lai memberitahu, kesemua tiga mangsa itu kini menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya berdasarkan siasatan awal mendapati, tiada sebarang unsur khianat dan kejadian itu berlaku di luar jangkaan.

Pihaknya juga sudah melakukan semua prosedur operasi standard (SOP) pelupusan barang kes dilakukan mengikut perintah mahkamah iaitu melupus barang kes dengan cara gelek menggunakan jentolak dan siraman air sebelum ditanam.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Daniel Ahmad Kamal, berkata pasukannya tiba di lokasi kejadian jam 6.32 petang.

“Berlaku kebakaran melibatkan sebuah stor simpanan rampasan bahan bukti berkeluasan 100 X 50 kaki persegi dan terbakar 30 peratus struktur bangunan dan 80 peratus kawasan terbuka yang melibatkan 50 buah kenderaan.

“Terdapat tiga orang mangsa lelaki dewasa mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

“Anggota bomba membuat pemadaman dengan mengunakan kaedah pemadaman secara offensive firefigthing dengan memasuki premis dan defensive firefighting pemadaman dari luar bangunan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Kebakaran berjaya dikawal oleh pasukan bomba pada jam 7.04 malam dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan.

Tamat