Lupakanlah sebentar nikmat ketupat, rendang, sebab mungkin samseng yang membelasah seorang pelajar di sebuah sekolah Langkawi ini bakal menyambut Aidilfitri di lokap.

Mungkin itu satu pengajaran sempurna buat mereka yang sesuka hati membelasah rakan sekelas dengan begitu teruk, melalui video tular berkenaan, mangsa belum sempat buat apa-apa terus ditendang dari belakangnya dan disepak kepalanya, sehingga jatuh rebah ke lantai.

Tidak cukup dengan itu, mangsa terus dilanyak dengan kaki dan tumbukan bertubi-tubi sehingga tiada peluang untuk bangun dan turut dihempuk badannya menggunakan sebuah meja.

Langkawi: Bukan sahaja diterajang dan ditumbuk, seorang pelajar lelaki turut dipijak beramai oleh rakan sekelas dalam pergaduhan di sebuah sekolah menengah di sini, semalam.

Video pergaduhan itu berdurasi 25 saat itu tular media sosial memaparkan tindakan sekurang-kurangnya lapan pelajar mengepung seorang pelajar lain sebelum mereka beramai-ramai bertindak menumbuk, menendang dan menolak mangsa sehingga terjatuh sebelum memijaknya beramai-ramai.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, video berkaitan kejadian itu dipercayai dirakam salah seorang pelajar dalam kelas itu.

“Satu laporan polis diterima daripada mangsa pada hari ini dan semakan lanjut mendapati kejadian berlaku pada jam kira-kira 9 pagi semalam di sebuah kelas di sekolah berkenaan.

“Punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara pelajar terbabit. Mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) sebaik laporan polis dibuat dan pemeriksaan doktor mendapati tiada kecederaan fizikal setakat ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shariman berkata, semua suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan sudah dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Tamat