Lebih seratus penumpang terpaksa berpanas menadah peluh apabila pesawat Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Sandakan pada Ahad lalu apabila fungsi penghawa dingin tidak dapat dihidupkan.

Ianya menjadi tular apabila penumpang mula membuat video ketidakpuasan hati mereka terutamanya berkenaan situasi tidak selesa itu termasuk pasangan yang membawa anak kecil dan warga emas.

Sementara itu, Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) dalam kenyataan pada Isnin berkata, pesawat MH2710 bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan, Sabah semalam didapati mengalami isu teknikal ketika enjin pesawat dihidupkan.

Kenyataan itu memaklumkan pesawat tersebut juga terpaksa kembali semula ke ruang menunggu selepas prosedur kali kedua menghidupkan enjin gagal ketika melakukan ‘pushback’.

Menurutnya, pada masa sama insiden berkenaan seorang penumpang juga memerlukan bantuan perubatan kecemasan. “Malaysia Airlines memohon maaf apabila pendingin hawa tidak dapat dihidupkan ketika proses baikpulih dilakukan menyebabkan persekitaran kabin menjadi panas.

“Selepas itu, penumpang dipindahkan ke pesawat lain yang berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 1.37 tengah hari dan selamat tiba di Sandakan jam 4.30 petang,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Malaysia Airlines kesal dengan kelewatan terbabit dan memohon maaf sekali lagi atas ketidakselesaan sementara yang dialami penumpang.
“Keselamatan kekal menjadi keutamaan kepada Malaysia Airlines,” katanya.

Tamat