Dentuman Emas milik Malaysia terus berkumandang di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi apabila sekali lagi kilauan pingat emas kelima terus menjadi milik negara apabila penerjun negara Ng Yan Yee mendapat mata tertinggi untuk acara 3 meter papan anjal.

Mata sebanyak 270.60 markah keseluruhan selepas lima terjunan memboleh negara terus mendominasi stadium berkenaan dengan kibaran Jalur Gemilang.

Ia adalah kilauan emas kedua peribadi buat penerjun dari Kuala Lumpur itu selepas terdahulu memenangi acara 3m papan anjal serirama bersama Ong Ker Ying semalam.

Ker Ying turut cemerlang apabila mengikut jejak Yan Yee menaiki podium sebagai pemenang pingat perak untuk acara 3m papan anjal individu dengan 242.40 kutipan markah keseluruhan.

Pingat gangsa pula menjadi milik penerjun Singapura, Fong Kay Yian yang berjaya meraih 230.15 markah keseluruhan.

Tamat