Tragedi banjir dan kepala air di kawasan Janda Baik , Bentong, Pahang kini mula meruncing menghantui penduduk sekali sekali lagi apabila menyebabkan tanah runtuh apabila hujan lebat sejak tiga pagi tadi.

Wakil Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bentong berkata, setakat 8 pagi, lebih 140 rumah di Kampung Sum-Sum, Kampung Lampin, Kampung Cheringin dan Kampung Pulau Santap dinaiki air.

Melalui pemantauan yang dibuat setakat ini tiada mangsa dilaporkan cedera mahupun hilang daripada kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bentong Supritendan Zaiham Mohd Kahar berkata trend air kini menurun dan terdapat beberapa lokasi berlaku tanah runtuh, namun pelbagai pihak yang berkaitan telah berada di kawasan terbabit bagi mengawal keadaan.

Beliau berkata susulan tanah runtuh, jalan lama Bukit Tinggi-Genting Sempah telah ditutup namun jalan ke arah Janda Baik masih boleh dilalui kenderaan.

“Mangsa yang terlibat adalah penduduk tempatan dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka buat masa ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi dalam kenyataan memaklumkan laluan utama di KM68 arah ke Kuala Lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) masih selamat untuk digunakan, meskipun beberapa kawasan berhampiran dinaiki air.

“Sungguhpun hujan mula reda pada waktu ini, pihak ANIH Berhad sedang memantau paras air Sungai Bentong sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Tamat