“Saya tidak takut kepada sesiapa, saya hanya takut kepada ALLAH sahaja. Saya lakukan semua ini bagi menyelamatkan umat Islam,” itu kata seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah selepas membongkar ketidakpatuhan prosedur operasi standard halal sembelihan di Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia baru-baru ini.

Menurutnya dia menerima ancaman berkenaan selepas membuat laporan berkenaan kepada pihak berkuasa dengan membongkar kegiatan berkenaan.

“Saya telah diancam bunuh oleh beberapa pihak selepas melaporkan perkara ini. Saya melaporkan kes ini dengan kerelaan hati, bukan mahu menerima apa-apa anugerah,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar secara dalam talian pada semalam.

Bukan hanya setakat ugutan berkenaan, dia juga menerima pelbagai panggilan yang menyamar selaku pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

“Apabila saya meminta untuk mengemukakan bukti pengenalan, mereka tidak memberikannya.

“Saya terima sahaja sekiranya terdapat pegawai Jakim yang mahu bertemu, tetapi pegawai yang sah sahaja. Bukan yang tipu,” katanya.

Pada masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, lelaki yang dikenali sebagai Abdullah yang memberi maklumat berkenaan kes itu sudah tidak dapat dikesan bagi membantu siasatan.

Menurut Idris, sebelum ini lelaki berkenaan memberi keterangan kepada Pegawai Atase Halal Jakim di Australia dan selepas itu individu berkenaan tidak dapat dihubungi.

Walaubagaimanapun pihaknya sudahpun mengambil tindakan secepat mungkin bagi memastikan hanya daging halal yang dibekalkan kepada pasaran tempatan.

Tamat