Melihat kepada situasi kini, walaupun berlaku Kris kewangan di Amerika Syarikat akibat inflasi namun negara berkenaan tetap berbelanja besar untuk krisis perang Ukraine serta keselamatan negara haram Israel.

Perkara berkenaan mendapat perhatian utama Sidang Kemuncak Ulama Islam 2022 anjuran oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Hotel Movenpick di sini hari ini apabila diutarakan oleh Setiausaha Agungnya, Sheikh Dr. Ali Al-Quradaghi.

Menurutnya, sikap berat sebelah kuasa dunia itu menggambarkan kejayaan kuat para pelobi Israel dalam sistem politik AS yang bukannya memperjuangkan hak kemanusiaan seperti mana dilaungkan negara Barat lain.

Semalam, dunia gempar dengan tindakan AS membuka semula kedutaan negara itu di ibu kota Ukraine, Kyiv di sebalik operasi ketenteraan dilancarkan Russia sejak 24 Februari lalu.

Kuasa dunia itu tanpa rahsia menyalurkan dana AS$40 bilion (RM176 bilion) kepada Ukraine yang dianggap seperti proksi Barat bagi mengekang kemaraan pengaruh geopolitik Rusia.

Beliau berkata Amerika kini seakan hanya menjadi buah catur regim Israel bagi mengatur segala strategi bagi menguasai geopolitik dunia.

“Padahal isu Palestin jauh lebih penting kerana penduduknya lebih 70 tahun dizalimi Israel tetapi mana suara AS yang konon pejuang hak asasi manusia,” .

Ali tanpa berselindung menganggap perangai jelik dasar luar AS dan Israel sebagai tidak boleh dipisahkan serta saling lengkap-melengkapi antara satu sama yang lain dan umat Islam harus mengecam tindakan mereka.

“AS itu ialah Israel dan Israel itu ialah AS kerana mereka berdua ini memang boleh diibaratkan seumpama dua jasad berbeza tetapi berkongsi satu roh yang sama,” tegas beliau.

Justeru, beliau meminta umat Islam khasnya generasi muda agar menguasai sains teknologi canggih dan komunikasi media kerana dua bidang itu mampu mengangkat martabat ummah.

Pada masa sama, komuniti Muslim sejagat perlu bersatu padu dan tidak terpengaruh dengan propaganda pihak tertentu yang cuba memecah-belahkan solidariti terutama isu Palestin

Tamat