Satu video klip tular apabila dengan adegan seorang pemuda mengamuk membelasah seorang warga emas tanpa belas kasihan berdekatan jejantas di Padang Jawa, di sini, seperti yang tular di laman media sosial hari ini, tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, hasil siasatan awal mendapati pengadu, 61, merupakan seorang pesara swasta yang berasal dari sekitar kawasan kejadian membuat laporan polis pada jam 2 petang hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian itu mangsa yang dipercayai memandu kereta jenis Honda City bersama isteri dan cucunya untuk ke Putrajaya pada jam 12 tengah hari.

“Semasa membelok ke kanan menghala ke Alam Avenue, suspek yang menunggang motosikal Yamaha 15 berada di sebelah kiri kereta mangsa telah menjerit dan memarahi pengadu”

“Mangsa berhenti untuk memeriksa sekiranya ada pelanggaran, namun apabila keluar kereta, mangsa telah diserang oleh suspek” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Iqbal, mangsa ditendang di dada kiri dan suspek juga telah duduk di atas badan mangsa dan menumbuk muka serta kepala mangsa bertubi-tubi sehingga menyebabkan mangsa mengalami bengkak bawah mata dan kepala serta sakit di bahagian rusuk.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan, dan individu berkenaan telah berjaya ditangkap dan akan direman esok.

Tamat