Pastinya semua graduan ternanti-nanti saat menerima skrol di graduasi namun akibat berlakunya sebuah kemalangan kemalangan maut membabitkan lori dan treler di Kilometer 8.6 Jambatan Pulau Pinang pagi tadi upacara bersejarah itu terpaksa ditangguhkan sementara waktu.

Oleh itu pada jam 8.44 pagi laman Facebook rasmi USM memuat naik satu hantaran memaklumkan terdapat kesesakan lalu lintas di luar jangkaan ekoran berlakunya satu kemalangan maut membabitkan pemandu serta kelindan lori.

Kira-kira dua jam selepas itu, USM memuat naik satu lagi hantaran Facebook memaklumkan graduan yang terlibat berjaya sampai ke kampus induk untuk melengkapkan majlis konvokesyen tersebut.

Difahamkan, pihak pengurusan universiti juga telah menangguhkan majlis selama 30 minit bagi memudahkan perjalanan graduan yang terlibat dalam kesesakan lalu lintas di luar jangkaan pagi tadi.

Perkongsian hantaran Facebook itu telah mendapat perhatian netizen, ramai memuji keprihatinan pihak pengurusan universiti yang menyelami permasalahan berlaku tanpa diduga oleh graduan.

Setakat artikel ini ditulis, hantara Facebook itu masih lagi dihujani komen-komen ucapan tahniah kepada para graduan dan juga pujian kepada pihak USM bagi menjayakan Upacara Konvokesyen ke-59 Universiti Sains Malaysia (Sidang 5) pada hari ini.

Tamat