Terkejut mereka yang sedang makan di sebuah restoran mamak, apabila berlaku aksi pergaduhan berkumpulan akibat berebut teman wanita sehingga menggunakan kayu besbol sebagai senjata di Taman Ehsan Jaya, Klang, semalam.

Kejadian jam 2.00 pagi itu tular melalui sebuah video yang menjadikan masyarakat kini bimbang dengan adab dan akhlak anak muda kini

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, bertindak maklumat sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah ini dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah menahan lapan lelaki berusia 14 hingga 21 tahun di kawasan Kapar dan daerah Klang.

Katanya, turut dirampas beberapa telefon bimbit dan helai pakaian, sebuah motosikal dan juga dua batang besi besbol.

“Berdasarkan pengakuan awal, kesemua suspek ditangkap mengaku terlibat dalam kes tersebut.

“Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perebutan teman wanita yang melibatkan pelajar sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihak tidak menolak kemungkinan wujud pengaruh unsur gangsterism atau kumpulan kongsi gelap kerana terdapat rakan mangsa dan suspek yang terdiri daripada lepasan sekolah.

Hoong Fong menjelaskan semakan rekod mendapati dua daripada suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah.

“Kesemua suspek kini direman antara tiga hingga enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tamat