“Saya tidak mahu kejadian ini berulang di tempat lain. Saya maafkan dia. Walaupun saya rasa sedih, saya anggap dia sebagai anak yang buat saya macam ni,” itu kenyataan yang keluar dari Zainol Din Hussain, 61, mengsa keganasan jalan raya yang ditumbuk dan disepak bertubi-tubi di Padang Jawa, Ahad lalu.

Menurutnya walaupun diserang di dalam insiden kemalangan kecil itu padanya dia sekeluarga terpaksa menyerahkan kes itu untuk disiasat pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

“Saya serah kepada undang-undang dan pihak polis, kita ada undang-undang, biar undang-undang selesaikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Jawa.

Ahad lalu, video seorang warga emas diserang seorang pemuda tular apabila lelaki berkenaan memukul seorang warga emas sehingga terjatuh di atas jalan.

Akibat perlakuan samseng berkenaan, pihak polis menahan suspek pada hari sama kejadian, selepas Zainol membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Mengulas lanjut Zainol berkata, beliau baru selesai menjalani rawatan dialisis sehari sebelum kejadian menyebabkan badannya agak lemah untuk mempertahankan diri ketika pergelutan.

“Saya tidak melawan sebab terpaksa selindung tangan kiri saya yang dijadikan tapak dialisis. Tangan kiri saya bengkak-bengkak kesan daripada rawatan itu dan masih sakit pada hari kejadian.”

Pada masa sama, Zainol turut menafikan tuduhan lelaki itu berhubung pelanggaran antara keretanya dengan motosikal suspek, serta dakwaan isyarat lucah menjadi punca berlaku pergelutan itu.

“Sejak kejadian, saya sukar bernafas, manakala bahagian tulang rusuk kiri saya kerap rasa sakit. Saya terpaksa dipapah isteri atau anak untuk bangun.”

Tamat